Sebut tentang sukan petanque (pay-tong), mungkin ramai yang tidak pernah mendengar mengenainya, apatah lagi cara-cara hendak memainkannya kerana sukan ini boleh dianggap masih baru di kalangan masyarakat di negeri ini.
Bagaimanapun berdasarkan pemerhatian sukan petanque ini lahir di Marscille, Perancis pada tahun 1910 tetapi ada juga laporan menyatakan pada 1907, dan popularitinya kian meningkat di Asia Tenggara sehingga menjadi satu daripada 32 jenis sukan yang dipertandingkan pada Sukan SEA. Antara negara yang mula-mula memainkan sukan itu di rantau ini ialah Thailand, Laos, Kemboja, dan Vietnam. Di Malaysia pula, sukan petanque diperkenalkan dan dibawa masuk ke negara ini oleh Prof. Diraja Ungku Aziz pada tahun 1971 melalui Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).
Pada peringkat awalnya ia diperkenalkan di Kuala Lumpur dan Kerteh, Terengganu dan sekarang seluruh Semenajung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Permainan ini agak mudah untuk dimainkan serta boleh disertai oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira jantina, usia, dan fizikal.
Petanque atau boleh disebut dengan sebutan 'pay-tong' boleh dimainkan dimana-mana kawasan yang berumput, berpasir, permukaan tanah merah atau gelanggang 4 meter lebar dan 15 meter panjang. Peralatan yang digunakan juga ringkas iaitu terdiri daripada bola logam atau lebih dikenali dengan panggilan 'BOULES' yang mempunyai ukuran garis pusat antara 70 hingga 80 milimeter dan berat minimum 650 gram hingga maksimum 800 gram, selain daripada boules, sebiji bola kecil dikenali sebagai 'JACK' yang dijadikan sebagai bola penanda.
Di Sarikei, sukan petanque kini mula berkembang dan dikenali setelah diperkenalkan oleh seorang anak muda iaitu Encik Ismail Bin Sulhi pada tahun 2003. Boleh dikatakan beliau merupakan pangasas sukan tersebut di bandar Sarikei serta bertanggungjawab menubuhkan Kelab Sukan Petanque Sarikei Protem pada tahun 2009.
Beliau mula-mula menceburi sukan petanque ini pada tahun 2000 dan mula bermain atas minat beliau semasa sukan petanque diperkenalkan pertama kali dan masukkan didalam Pesta Sukan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan Negeri Sarawak (PSKPP) di Mukah 2000 oleh Encik Bedui Uni, Pegawai Pelajaran Daerah Mukah pada masa itu. Beliau juga adalah salah seorang peminat sukan itu.
Oleh sebab begitu minatnya Encik Ismail, beliau dengan berani memohon kepada Pegawai Pendidikan Bahagian Sarikei untuk membina dua buah gelanggang petanque di SK Sarikei dan SK Abg. Haji Matahir, Sarikei. Atas usaha beliau maka terbinalah dua buah gelanggang petanque dengan ukuran 3 meter lebar dan 13 meter panjang.
Pada tahun 2005 Persatuan Petanque Sibu telah menjemput beliau ke Kejohanan Petanque berpasukan sempena Borneo Culture Festival di Sibu. Dengan adanya kejohanan itu,maka timbullah keinginan beliau untuk pertama kali menyertai kejohanan tersebut dan dengan berpasangankan isteri beliau dan anak beliau yang baru berusia 13 tahun pada waktu itu. Pada waktu itu jugalah, maka wujudlah pasukan yang diberi nama SARIKEI TEAM tapi pada kejohanan itu mereka kalah dipusingan pertama.
Pada tahun 2006 PPS Sibu sekali lagi menjemput SARIKEI TEAM ke Kejohanan Petanque Berpasukan BCF 2006. Kali ini berbekalkan pengalaman, SARIKEI TEAM layak masuk ke peringkat akhir (Final) di mana mereka bertemu dengan pasukan Penjara Sibu. SARIKEI TEAM telah menang pada pertemuan itu.
Daripada kejohanan itu pasukan SARIKEI TEAM mula dikenali dikalangan rakan-rakan petanque di seluruh bahagian sehingga berbagai-bagai kejohanan petanque telah disertai oleh SARIKEI TEAM seperti kejohanan anjuran KOPERKASA Sibu, KOPERKASA Kuching, Kelab Kedurong Bintulu, Kelab Penjara Sibu, Kelab Sukan Petanque Kuching dan Persatuan Petanque Sibu. Kejohanan yang paling besar yang telah disertai oleh beliau, isteri serta anak beliau (Sarikei Team) ialah Kejohanan Sarawak Terbuka peringkat kebangsaan dan antarabangsa anjuran PEPSAR, Bintulu 2007, kejohanan Terbuka peringkat kebangsaan di SMK Santubong, Kuching 2008 dan kejohanan Terbuka dan Jemputan di Miri Fest 2009 sempena hari Bandaraya Miri.
Bukan setakat di kejohanan sahaja, beliau dan isteri juga tidak ketinggalan untuk mengikuti Kursus Pengadilan Petanque peringkat negeri Sarawak 2007 anjuran KPSU dan Jabatan Belia dan Sukan Bintulu. Beliau juga telah dilantik oleh Persatuan Petanque Sarawak (PEPSAR) sebagai Penyelaras Sukan Petanque Cawangan Sarikei pada tahun 2007 dan pada tahun yang sama beliau telah diberi kepercayaan untuk membawa pemain-pemain remaja bahagian Sarikei ke Kejohanan Remaja Petanque Double peringkat negeri Sarawak di Bintulu dan sekaligus memilih pemain untuk mewakili Sarawak ke Sukan SUKMA di Terengganu 2008. Dengan pengalaman yang tidak begitu luas, beliau berjaya melatih dan membawa pemain remaja Sarikei ke perlawanan akhir dimana pasukan Sarikei tewas ditangan pasukan remaja Bintulu. Walaupun segala perbelanjaan untuk membawa dan menyertai mana-mana kejohanan adalah ditanggung oleh beliau sendiri seperti pengangkutan, penginapan, makan minum dan yuran penyertaan.
Pada tahun 2008, beliau juga telah dilantik oleh pihak Majlis Sukan Negeri Sarawak sebagai Jurulatih Pusat Pembangunan( MSN ) dengan jumlah atlet seramai 20 orang.
PERSATUAN PETANQUE SARIKEI
Penubuhan Persatuan Petanque Sarikei adalah berdasarkan keyakinan beliau bahawa di Bahagian Sarikei ada peminat-peminat sukan ini tetapi masih diperingkat permulaan memandangkan Persatuan ini baru sahaja ditubuhkan pada bulan Februari 2009 dengan keahlian seramai 35 orang dan masih lagi didalam kedudukan PROTEM. Beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Persatuan tersebut. Dengan keyakinan beliau, beliau dapat menubuhkan 4 lagi pasukan yang aktif dalam sukan ini dan telah menyertai beberapa kejohanan di peringkat bahagian dan kebangsaan. Beliau juga menyeru kepada orang ramai terutamanya remaja dan belia agar dapat menyertai sukan ini sebagai sukan yang bertaraf dunia, apatah lagi sukan ini telah diperkenalkan kedalam sukan SUKMA 2008 di Terengganu lepas dimana pasukan negeri Sarawak telah merangkau pingat emas dalam kategori perempuan.